Tuesday, March 29, 2011

Cerita gua

Nama gua Noor Amin bin Ahmad. Sejak dulu selalunya orang panggil gua Amin. Lepas 'graduate' gua lebih dikenali dengan nama Amin Ahmad. Masa di uni dulu gua tinggal di Kolej Matrikulasi a.k.a. Komat dan tidur di bilik B304. Kemudian gua dipindahkan ke C304 selepas runtuhnya bumbung di blok B pada satu petang yang dingin dan ramai yang tergolek tidur di atas katil. Gua dapat tawaran Diploma Perhutanan ambilan pertama walaupun gua tak pernah pohon. Gua pasrah datang daftar. Dulu gua dilantik jadi Penghulu Kem Perhutanan Diploma tahun 2000 masa semester 1. 'Fast forward', masa tahun akhir gua ambil pengkhususan dalam bidang Pengurusan Taman dan Rekreasi. Kalau tak ada bidang ni mati keras gua nak hafal pokok dan kayu. Lepas tu gua sambung Ijazah Sains Perhutanan. Gua ambil minor Pengurusan Sumber Rekreasi tapi gua pandai-pandai tambah dalam 30 kredit juga ambil subjek-subjek elektif. Sudahnya gua habis belajar lewat. Gua menetap di Seri Serdang kerana 'dikeluarkan' dari kolej lepas mobilisasi memorandum Kolej 13 dulu. Gua 'graduate' Ijazah Sarjana Muda secara rasmi pada tahun 2007. Tahun tu juga gua sambung Master dan walaupun kuliah gua dah habis 2 tahun dulu, gua masih malas nak tulis tesis sampai sekarang. Habis duit gua asyik bayar yuran saja lepas gua buat penangguhan 2 semester. Masa buat Master gua bantu ngajar kelas dan amali. Dalam masa yang sama gua buat bisnes kecil-kecilan - program rekreasi untuk sekolah, universiti, swasta dan badan kerajaan. Banyak juga projek gua dapat dulu. Masa tu gua tinggal di Taman Universiti Indah, dekat dengan Equine Park. Kemudian gua kerja sebagai Pegawai Penyelidik dengan sebuah badan pemikir politik dan ekonomi milik orang Malaysia yang diasaskan di London. Setahun gua buat 'ground-work' sebab bos gua yang dah tinggal berbelas tahun di UK tu nak balik Malaysia. Lepas tu gua pusing 1Malaysia sebab gua terlibat sebagai penyelaras Projek Kajian Islam dan Demokrasi di Malaysia oleh Merdeka Center bersama Institut Kajian Pemikiran dan Ketamadunan (ISTAC) milik UIAM, Institut Kemajuan Kajian Islam (IAIS) dan Pusat Kajian Dasar Awam (CPPS) . Sambil tu gua banyak menulis di pelbagai media cetak dan 'online' tentang isu-isu falsafah, politik, ekonomi dan alam sekitar. Sampai sekarang gua masih menulis di pelbagai media dan gua ada kolum khas di 'webzine' JalanTelawi dan akhbar online - MStar. Di JalanTelawi biasa gua tulis sebulan sekali dan di MStar gua banyak hantar tulisan untuk kolum gua tapi editor dia macam ikut suka hati di saja nak siar bila. Setakat ni dalam bidang penulisan gua dah tulis satu buku penuh bertajuk Pemanasan Global dan Perubahan Iklim. Gua dah terjemah sebuah buku berkaitan Selangor kira-kira 300 muka surat. Gua juga dah terjemah satu bab berkaitan ekonomi dalam 50 muka surat dan sekarang gua tengah terjemah satu lagi buku dalam 80 muka surat. Gua harap dalam setahun dua ni gua dapat tulis satu lagi buku. Gua pernah dijemput beberapa kali sebagai tetamu jemputan talkshow di Astro Awani dan RTM, bercakap tentang pelbagai isu semasa. Di Astro sebenarnya gua diberikan kontrak dulu. Gua dah tak masuk TV lagi bersama beberapa pensyarah dan jemputan biasa yang lain. Khabarnya kami terlalu kritikal jadi disimpan dalam stor dulu. Wallahu'alam. Gua juga banyak dijemput oleh pelbagai organisasi - universiti, badan bukan kerajaan, kerajaan dan parti politik seperti UMNO - untuk memberikan pandangan sebagai pembentang dan menjadi moderator forum. Sejak 2006 gua dah beberapa kali ke luar negara mengikuti pelbagai kursus. Gua hadir kursus pendek di Amerika Syarikat pada tahun 2008 dan diberikan sijil Falsafah, Sejarah, Undang-Undang dan Ekonomi Kebebasan oleh Cato Institute (Gambar gua ada di sini). Sekarang gua diambil menjadi Pegawai Komunikasi kepada Y.A.B. Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid bin Ibrahim, Dato' Menteri Besar Selangor. Kerja utama gua ialah menulis teks ucapan dia, membuat kajian yang perlu dan menguruskan beberapa program kerajaan negeri khususnya berkaitan belia. Gua juga terlibat menyediakan teks ucapan DYMM Sultan Selangor untuk pembukaan sidang Dewan Negeri. Di samping itu gua aktif sebagai Felo di IDEAS, tempat kerja lama gua (cuma dulu namanya Malaysia Think Tank, London). Begitulah hidup gua serba ringkas untuk pengkalan data ni. Harap kawan-kawan boleh story-mory morning glory tentang hal masing-masing di sini. Tak kisah lu kerja apa janji lu cari rezeki halal.

Meriahkan...

Nampaknya ramai belum mengundi di 'poll' yang disediakan. Masa ada lagi untuk berfikir. Elok juga tidak mengundi lebih awal kerana kita mungkin ada perancangan lain nanti.

Kali ini aku nak berkisah pasal blog ini pula.

Blok ini tujuannya sedikit berbeza dengan Group Geng Budak Hutan di FB. Tujuan blog ini juga adalah pelbagai dan secara ringkasnya ialah untuk:

01. Menjadi pengkalan data kawan-kawan. Justeru, aku harap kawan-kawan boleh hantar sedikit maklumat berkaitan seperti gambar, nama penuh, nama panggilan (jika ada), dulu buat pengkhususan dalam bidang apa, sekarang tinggal di mana, e-mel atau nombor untuk dihubungi dan sedikit cerita perkembangan selepas bergraduat khususnya berkaitan kerjaya dan status hidup.

02. Menjadi ruang berkongsi kisah lama dan terkini. Label dalam setiap tulisan ini nanti akan dipecahkan mengikut kesesuaian. Macam tulisan ini aku masukkan di bawah label Panduan kerana ia memang bertujuan untuk itu. Label-label ini nanti korang boleh tengok di sebelah tepi blog ini. Senang nak buat carian semula bila perlu.

Babai!

Monday, March 28, 2011

Selepas sedekad

Ni gambar candid masa kita berdegil nak buat majlis makan malam sendiri pada semester akhir Diploma. Kehadiran malam itu lebih 10 meja. Daha ialah Pengarah Program pada malam itu.


Salaam.

Terima kasih buat rakan-rakan yang berkunjung ke sini. Selepas bersama sejak tahun 2000 sebelum kemudiannya masing-masing memilih haluan hidup sendiri - ada yang menyambung pengajian, ada yang bekerja di pelbagai sektor dan sebagainya, 2011 menandakan bermulanya dekad kedua pengenalan kita.

Kekalkan persahabatan

Daripada sembang santai (sebagaimana selalunya!), selaku Penghulu kepada budak hutan Diploma ambilan tahun 2000, aku ingin memanjangkan hubungan kita semua dalam bentuk baru, mengambil kira perkembangan masing-masing - yang berhijrah ke merata alam disebabkan tuntutan hidup di samping ada yang telah berkahwin.

Bentuk baru yang aku maksudkan ini ialah medium mengekalkan perhubungan sesama kita. Langkah awal yang telah diambil ialah mewujudkan Group Geng Budak Hutan di laman Facebook. Terima kasih kerana dalam tempoh kurang 24 jam kita telah berjaya mendapatkan sekitar 100 orang rakan-rakan di sana. Sebagai ingatan, ambilan Diploma Perhutanan tahun 2000 hanyalah sekitar 150 orang, jika tak silap 157 orang semuanya. Ini bermakna, kita telah berjaya menjejak semula sekitar 2/3 daripada jumlah penuh yang ada. Pada aku ini satu kejayaan bersama, tahniah! Dan blog ini juga adalah satu inisiatif untuk mengemaskini maklumat.

Perjumpaan semula

Untuk makluman, pada bulan 6 ini akan diadakan satu 'mini gathering' untuk membina momentum kepada 'reunion' sebenar pada hujung tahun nanti. Justeru, aku letakkan satu 'poll' di ruang tepi blog ini untuk membolehkan rakan-rakan mengundi tarikh yang sesuai untuk 'mini gathering ' ini. Konsepnya mudah - datang sendiri, keluar belanja sendiri dan uruskan diri sendiri. Cadangan aktiviti pada hari tersebut ialah pertandingan bowling dan makan-minum. Acara tambahan bersifat pilihan kepada yang berminat ialah sesi suara sumbang - karaoke. Dengan semangat diktator Hitler, aku melantik Rahmang sebagai Pengarah bidan terjun bagi mini gathering ini. Timbalan Pengarah pula ialah Anep Gomok.

Tugas mereka ialah mengesahkan tarikh berdasarkan 'poll' yang aku buat (tempoh mengundi ialah sampai 14 Mei 2011). Tugas kedua ialah mengesahkan penyertaan. Kalau cukup ramai kita perlu tempah gelanggang bowling tu.

'Mini gathering' ini berbeza dengan 'reunion' dalam konteks pengurusan kerana nanti akan diputuskan berapakah kos untuk menghadiri 'reunion' yang lebih lama iaitu sekitar 24 jam dan akan dibuat pada hujung minggu. Semasa 'reunion', kita akan mendaftar penginapan pada hari Sabtu dan aktivitinya bermula petang sehingga lewat malam tersebut. Pada hari Ahad sekitar jam 10 program akan ditamatkan supaya rakan-rakan yang perlu memandu jauh untuk balik ke destinasi masing-masing boleh bergerak lebih awal.

Itu saja untuk kali ini. Akan datang aku tulis lagi. Buat masa ni aku bentukkan blog ini secara santai dulu. Akan datang nanti aku akan pindahkan milikan blog ini daripada akaun peribadi ke akaun bersama supaya masing-masing boleh menulis di sini. Sementara itu minta maaflah sebab Tentang Kami tu terpapar muka aku yang macam 'best' tu.

Jika ada sebarang cadangan tambahan untuk 'mini gathering' bulan 6 ini, sila kemukakan di Group Geng Budak Hutan dalam FB nanti. Yang berminat nak memainkan peranan aktif sebagai penggerak sangat dialukan dan boleh berhubung dengan Rahmang dan Anep.

Sekian, terima kasih.

* Sembang santai dalam cerita di atas melibatkan aku, Anep, Chomel dan Rahmang. Chomel dah sukarela menjadi Pengarah Reunion hujung tahun sebab tu selamba aku petik Anep dan Rahmang uruskan mini gathering.