Monday, March 28, 2011

Selepas sedekad

Ni gambar candid masa kita berdegil nak buat majlis makan malam sendiri pada semester akhir Diploma. Kehadiran malam itu lebih 10 meja. Daha ialah Pengarah Program pada malam itu.


Salaam.

Terima kasih buat rakan-rakan yang berkunjung ke sini. Selepas bersama sejak tahun 2000 sebelum kemudiannya masing-masing memilih haluan hidup sendiri - ada yang menyambung pengajian, ada yang bekerja di pelbagai sektor dan sebagainya, 2011 menandakan bermulanya dekad kedua pengenalan kita.

Kekalkan persahabatan

Daripada sembang santai (sebagaimana selalunya!), selaku Penghulu kepada budak hutan Diploma ambilan tahun 2000, aku ingin memanjangkan hubungan kita semua dalam bentuk baru, mengambil kira perkembangan masing-masing - yang berhijrah ke merata alam disebabkan tuntutan hidup di samping ada yang telah berkahwin.

Bentuk baru yang aku maksudkan ini ialah medium mengekalkan perhubungan sesama kita. Langkah awal yang telah diambil ialah mewujudkan Group Geng Budak Hutan di laman Facebook. Terima kasih kerana dalam tempoh kurang 24 jam kita telah berjaya mendapatkan sekitar 100 orang rakan-rakan di sana. Sebagai ingatan, ambilan Diploma Perhutanan tahun 2000 hanyalah sekitar 150 orang, jika tak silap 157 orang semuanya. Ini bermakna, kita telah berjaya menjejak semula sekitar 2/3 daripada jumlah penuh yang ada. Pada aku ini satu kejayaan bersama, tahniah! Dan blog ini juga adalah satu inisiatif untuk mengemaskini maklumat.

Perjumpaan semula

Untuk makluman, pada bulan 6 ini akan diadakan satu 'mini gathering' untuk membina momentum kepada 'reunion' sebenar pada hujung tahun nanti. Justeru, aku letakkan satu 'poll' di ruang tepi blog ini untuk membolehkan rakan-rakan mengundi tarikh yang sesuai untuk 'mini gathering ' ini. Konsepnya mudah - datang sendiri, keluar belanja sendiri dan uruskan diri sendiri. Cadangan aktiviti pada hari tersebut ialah pertandingan bowling dan makan-minum. Acara tambahan bersifat pilihan kepada yang berminat ialah sesi suara sumbang - karaoke. Dengan semangat diktator Hitler, aku melantik Rahmang sebagai Pengarah bidan terjun bagi mini gathering ini. Timbalan Pengarah pula ialah Anep Gomok.

Tugas mereka ialah mengesahkan tarikh berdasarkan 'poll' yang aku buat (tempoh mengundi ialah sampai 14 Mei 2011). Tugas kedua ialah mengesahkan penyertaan. Kalau cukup ramai kita perlu tempah gelanggang bowling tu.

'Mini gathering' ini berbeza dengan 'reunion' dalam konteks pengurusan kerana nanti akan diputuskan berapakah kos untuk menghadiri 'reunion' yang lebih lama iaitu sekitar 24 jam dan akan dibuat pada hujung minggu. Semasa 'reunion', kita akan mendaftar penginapan pada hari Sabtu dan aktivitinya bermula petang sehingga lewat malam tersebut. Pada hari Ahad sekitar jam 10 program akan ditamatkan supaya rakan-rakan yang perlu memandu jauh untuk balik ke destinasi masing-masing boleh bergerak lebih awal.

Itu saja untuk kali ini. Akan datang aku tulis lagi. Buat masa ni aku bentukkan blog ini secara santai dulu. Akan datang nanti aku akan pindahkan milikan blog ini daripada akaun peribadi ke akaun bersama supaya masing-masing boleh menulis di sini. Sementara itu minta maaflah sebab Tentang Kami tu terpapar muka aku yang macam 'best' tu.

Jika ada sebarang cadangan tambahan untuk 'mini gathering' bulan 6 ini, sila kemukakan di Group Geng Budak Hutan dalam FB nanti. Yang berminat nak memainkan peranan aktif sebagai penggerak sangat dialukan dan boleh berhubung dengan Rahmang dan Anep.

Sekian, terima kasih.

* Sembang santai dalam cerita di atas melibatkan aku, Anep, Chomel dan Rahmang. Chomel dah sukarela menjadi Pengarah Reunion hujung tahun sebab tu selamba aku petik Anep dan Rahmang uruskan mini gathering.

2 comments: